Tuesday, November 20, 2012

KAU K.POP, KU J.ROCK: BAB 3



Bab 3
            Malam tu selepas kenduri pada siangnya, kawan-kawan tau apa yang berlaku? Aku menjadi seorang tukang ‘pembebel’ paling hebat di dunia. Manusia penadah telinga yang sanggup mendengar bebelan aku tidak lain tidak bukan adalah adikku sendiri, Aimi.
            Kesian dia!
            Tapi, disebabkan mamat robot tu, hatiku mendidih melebihi takat didih air. Segala sumpah seranah dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Korea (walaupun tidak fasih sangat) terbit dari mulutku.
            Aimi hanya mengangguk-angguk sahaja sambil mengeluarkan beberapa ayat seperti;
            -Ya, kak!-
            -Saya faham, Kak Yana!-
            -Sudah la tu, kak!-
            -Dia bergurau aje tu.-
            Ini bukan masalah bergurau atau apa, Aimi oi.
            Ini adalah maruah.
            Maruah K.Pop.
            Malam tu juga, aku buat carian dalam laman carian Google. Cari senjata apa yang sesuai untuk hancurkan satu persatu sel yang wujud pada ‘robot’ tu. Aku mahu dia terseksa. Merasai bagaimana diriku terseksa diperlakukan sedemikian rupa.
            Aku bergelak-ketawa dalam diriku sambil membayangkan munculnya dua tanduk di atas kepala.
            Aimi pula yang kebosanan melihat aku yang gila tak tentu fasal.
            “Kak Yana cari senjata api tu buat apa? Bukannya Kak Yana reti guna pun. Lagipun harganya mahal. Kalau setakat guna pistol mainan Hafiz, sepupu kita tu boleh la.”
            Diam, Aimi! Ini urusan Kak Yana dengan ‘robot Jepun’ tu. Dendam mesti dibalas.
            Haha...
            “Ikut suka Kak Yana la! Saya nak tidur. Penat betul hari ni!”
            Okey, babai! Ahn Nyeong Hee Ju Mu Se Yo.
            “Okey, selamat malam! Jangan tidur lewat sangat tau. Nanti tak awet muda!”
            Aimi meninggalkan bilik aku dengan ketawa kecil.
            Aku senyum kecil.
            Jari-jemariku laju bermain di atas papan kekunci komputer ribaku.
            Yang ajaibnya segala nama pengilang dan senjata api yang tak pernah aku dengar terpapar di skrin komputerku.   
            Heckler & Koch buatan Jerman.
            Uzi buatan Israel.
            Stark Industries buata... Eh, ni syarikat Tony Stark dalam filem Iron Man.
            Pendek kata banyak juga pengilang dan pembuat senjata api ketenteraan di dunia ini.
            Alih-alih, aku terus baring di atas katil dan membuka novel Gerabak Merah Jambu yang masih tinggal setengah muka surat lagi untuk dihabiskan.
            Untuk pengetahuan kawan-kawan sekalian, aku memang sudah lama membaca buku tidak kira novel, kumpulan cerpen, esei dan autobiografi sejak dari sekolah menengah lagi.
            Buku pertama yang aku baca adalah buku antologi cerpen pemenang Hadiah Sastera Siswa-Bank Rakyat 1992 yang berjudul Annyss Sophiela. Antologi cerpen tu memuatkan cerpen-cerpen yang memenangi hadiah paling berprestij bagi golongan penulis remaja ketika itu.
            Daripada situ, aku mula berjinak-jinak dengan dunia sastera. Mengenali siapa Usman Awang, A. Samad Said, Ishak Haji Muhammad, Muhammad Haji Salleh dan penulis-penulis tersohor yang lain.
            Sudahnya, aku jatuh cinta pada dunia sastera.
            Kalau kawan-kawan nak tahu, aku terpaksa ‘bertarung’ dengan umi dan ayah selepas keputusan SPM diumumkan.
            Aku berkeras untuk mengambil aliran sastera STPM daripada memasuki kolej matrikulasi; sedangkan keputusan SPM aku tempoh hari amat memuaskan.
            Akhirnya, umi dan ayah akur dengan keputusanku.
            Ada syaratnya.
            Aku kena mendapat keputusan STPM dengan cemerlang.
            Alhamdulillah! Berkat doa dan usahaku, aku mendapat keputusan yang cemerlang dan ditawarkan ke menara gading. (Dah lama aku tak guna perkataan ni, selalunya guna masa zaman sekolah)
            Sewaktu zaman STPM dan universiti, aku terus diperkenalkan dengan nama-nama penulis lain seperti Baha Zain, Dr. Anwar Ridhwan, S. Othman Kelantan dan Shahnon Ahmad. Tidak cukup dengan itu, aku juga perlu menghafal puisi-puisi hasil karangan penulis-penulis Indonesia seperti W.S Rendra, Situr Situmorang dan Chairil Anwar.
            Aku turut didedahkan dengan penulis-penulis Indonesia yang lain seperti Pramoedya Ananta Toer dan Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai HAMKA.
            Pram (nama singkatan kepada Pramoedya Ananta Toer) kata pensyarahku, pernah dipenjarakan di Indonesia. Dia dinafikan segala kertas, pensel dan kapur untuk mengelak daripada dia menulis. Jadi, apa yang dia buat untuk menyalurkan ideanya?
            Dia bercerita kepada rakan-rakan sepenjara dengannya dan mohon mereka hafal cerita itu.
            Selepas dibebaskan, dia kembali dan meminta rakan-rakannya menceritakan kembali apa yang diceritakan untuk dibukukan.
            Huh, sedih aku dengar perjuangan penulis-penulis zaman dahulu.
            Aku?
            Kalau boleh aku pun ingin jadi begitu tapi apakan daya, aku tak mampu.
            Sob... sob...
            Sejak akhir-akhir ini, aku mula mengenali beberapa orang penulis yang menulis dalam kelompok sastera popular (seperti yang digelar oleh satu pihak).
            Oh, aku mengenali karya-karya Noor Suraya, Imaen, John Norafizan, Pingu Toha, Dihsar Ludba Haqifa dan juga Kamalia.
            Baru aku kenali yang dunia sastera Malaysia begitu luas dan pelbagai rencam. Masing-masing ada stail dan pemikiran yang ingin disampaikan.
            Aku masih belum faham mengapa golongan lagi satu selalu memperlekeh golongan-golongan yang dianggap ‘popular’ ini.
            Entahlah.
            Tiada jawapan buat masa ini.
            Kata pensyarahku...
            Oppss... sekejap. Kalau kawan-kawan nak tahu, pensyarah aku merupakan lulusan ekonomi sebagai ijazah pertamanya sebelum beralih kepada bidang kesusasteraan Melayu dalam bidang sarjana dan kedoktoran.
            Entah apa yang merasuk dirinya dia sanggup berhenti kerja sebagai pegawai perancang ekonomi di sebuah agensi kerajaan.
            Katanya, sebab kepuasan dan minat yang mendalam dalam kesusasteraan Melayu.
            Aku tabik pada dirinya.
            Lagi pun dah ramai penulis bukan disiplin sastera menulis sekarang ni.
            Contohnya :-
1)      Dr. Rahmat Haroun Hashim – bidang perubatan
2)      Nisah Haron – bidang perundangan
3)      Rebecca Ilham – bidang kejuruteraan
4)      John Norafizan – bidang kejuruteraan
5)      Imaen – bidang ekonomi
Sebenarnya, ramai lagi. Takut kawan-kawan jadi bosan tengok senarai yang terlebih
panjang pula.
            Entah, kami nak baca cerita kau bukan nak baca ceramah kau, Yana!
            Okey, sabar-sabar! Biar saya baca sedikit lagi novel Gerabak Merah Jambu. Sekarang nak masuk bahagian watak lelaki nak memikat watak gadis yang disukainya. Lelaki tu terpaksa mengaku yang dia jadi ‘pemburu cinta’ atau dalam bahasa Inggerisnya, love stalker untuk mengenali gadis paling cantik baginya.
            Oh, romantiknya!
            Okey, kita berhenti sekejap. Nanti aku sambung semula novel penulis yang suka ‘renyeh’ ni apabila tersenyum.  (Merujuk kepada gambar dia yang ada di belakang novel. Tak percaya, sila beli sendiri ya)
            Sekarang, aku nak menceritakan kepelikan ‘robot Jepun’ tu yang berlaku seminggu selepas aku mengisytiharkan perang kepadanya. Suatu hari yang tidak dijangkakan, aku bakal bertembung dengannya.
            Di mana?
            Di Midvalley Megamall, Kuala Lumpur.
            Dekat mana?
            Kedai Buku MPH.
            Oh, Afi pun seorang pembaca juga.
            Ya! Itu yang aku musykil.
            Cakap banyak tak guna, cepat cerita.
            Baiklah, kawan-kawan. Sila tarik tetikus anda ke bawah ya.
Babak 5
            Sudah menjadi kebiasaan pada hujung minggu, aku akan turun ke Kuala Lumpur. Kereta Perodua Kancil kepunyaan umi menjadi ‘kuda tunggangan’ aku untuk ke ibu kota penuh sesak itu.
            Kali ini, Aimi turut pergi sekali. Katanya, ada kerja sikit.
            Aku angkat kening sebelah seperti Ziana Zain sedang mendendangkan lagu Madah Berhelah ketika Aimi menyatakan hasratnya.
            “Ada kerja sikit? Lain bunyinya.”
            Aimi tersengih.
            “Rahsia kita berdua dah la ya!”
            Jika kawan-kawan pernah tengok filem arahan Seniman Allahyarham P.Ramlee, Bujang Lapok mesti kawan-kawan teringatkan watak Ayu yang selalu buat bunyi;
            Ehem... 20 sen!”
            Tapi, aku tak nak 20 sen.
            Aku nak, “Ehem... RM 20!”
            Mengembang kedua-dua belah pipi Aimi mendengar permintaan aku.
            Ala.. dah la masa sengih akan ‘kembung’ pipi tu. Mahu saja aku cubit pipi adikku ni laju-laju.
            “Kak Yana ni, dengan adik sendiri pun nak berkira!”
            Pipinya menjadi ‘tembam’ apabila bibirnya menjuih.
            Aku ketawa kecil.
            “Okey, Kak Yana tak caj apa-apa. Tapi, tol kena bayar, pergi dan balik!”
            Pipinya yang ‘tembam’ kempis semula.
            “Okey! Setuju!”
            Aku pun memandu dengan senang hati menyusuri Lebuh raya Kuala Lumpur – Seremban yang sedikit sibuk.
            Selesai meletakkan kereta, tangan aku ditarik oleh Aimi.
            “Kenapa ribut-ribut ni? Sabar la, Aimi!” ujarku sedikit meradang.
            “Aimi takut lambat jumpa si dia. Dia tu sangat menepati masa tau!” balas Aimi.
            Aku ketawa lagi.
            “Kak Yana tau, Aimi takut dia terlajak waktu rehat kan. Ala... dia kan bekerja sambilan di restoran Pizza Hut Midvalley ni.”
            “Haha... kantoi!”
            “Dah... dah... pergi jumpa Si Fahmi tu. Kak Yana nak ke Kedai Buku MPH. Nanti cari Kak Yana kat sana ya!”
            Kami berdua berpisah mengikut haluan masing-masing selepas itu.
            Kaki kananku memasuki ambang pintu kedai buku MPH.
            Sebelum aku masuk ke dalam, aku menghirup dahulu udaranya.
            Wah, bau buku! (Padahal bermacam-macam bau yang aku rasa)
            Dengan menyusun langkah demi langkah aku masuk ke dalam.
            Tempat pertama yang aku pergi ialah kawasan novel-novel Melayu. Banyak betul novel-novel terbaharu yang sudah diterbitkan. Aku membelek-belek satu persatu novel yang ada.
            Memandangkan hampir kesemua novel di situ telah dibalut dengan plastik, aku hanya membaca blurb yang ditulis di belakang novel untuk mengetahui apa isi cerita.
            Ah, buku baharu John Norafizan, Coklat (yang manis). Dah lama penulis ini tak menulis semenjak novelnya yang terakhir, Odisi Bulan Biru.
            Lantas, tangan aku mencapai novel itu dan membaca blurb. Bibirku menguntum senyum. Menarik!
            Sesekali mataku melilau melihat ruangan untuk novel remaja dan umum bahasa Inggeris.
            Tidak semena-mena, mataku tertangkap tampang seseorang. Seseorang yang aku kenal.
            Aku membetulkan sedikit cermin mataku, takut-takut aku tersalah lihat. (Maklumlah ada masalah mata. Itulah, kecil-kecil tak nak makan sayur)
            Memang tak salah lagi. Dialah orangnya.
            ‘Robot Jepun!’
            Ah, sudah! Apa yang dia buat kat sini? Bila masa pula dia ni minat membaca?
            Mataku melilau lagi ke kiri dan ke kanan mencari tempat persembunyian yang sesuai. Kalau boleh aku tak mahu terserempak dengannya. Kalau boleh tak nak ada perkataan ‘ter’ sebelum ‘serempak’ tu pun lagi bagus.
            Aku genggam novel Coklat (yang manis) tu erat-erat.
            Okey, ni rancangan aku;
1)      Genggam novel John Norafizan ni kuat-kuat.
2)      Fokuskan mata pada kaunter bayaran.
3)      Jalan tanpa menoleh kiri dan kanan.
4)      Letak novel di atas meja kaunter dan tanya, “Berapa harga buku ni? Saya ada kad diskaun.”
5)      Bayar harga buku.
6)      Tolak pelawaan juruwang kalau dia tawarkan plastik. (Saya penyokong setia Ahli Kitar Semula ya. Jom Hijau!)
7)      Senyum kepada juruwang dan ucapkan, “Terima kasih! Saya beli ya.”
8)      Pandang pintu keluar.
9)      Bersedia untuk keluar.
10)   Selesai.
Aku menarik nafas-nafas dalam. Bersedia untuk merealisasikan apa yang dirancang.
            Sesekali mataku memandang  ke arah ‘robot Jepun’ yang sedang membelek-belek novel di ruangan novel umum bahasa Inggeris. Tekun dia membelek sehingga tidak perasankan aku.
            Cantik!
            Aku mengira dalam hati, satu... dua... ti..
            “Eh, Yana! Tak sangka jumpa awak di sini. Kebetulan!”
            Ah, sudah! Cepat pula ‘robot Jepun’ ni menangkap tampangku.
            Perlahan-lahan aku menoleh ke arahnya. Aku tersengih.
            “Haah, tak sangka ya! Awak buat apa kat sini?”
            Yana, cuba tanya soalan yang matang sikit. Tak kan dia ada kat kedai buku ni nak beli karburetor enjin motosikal Yamaha RXZ kut.
            “Oh, ya! Saya nak beli beberapa buah novel Inggeris ni. Saya suka baca novel-novel macam John Grisham, Haruki Murakami dan Robert Ludlum. Robert Ludlum ni penulis tetralogi The Bourne Identity dan lain-lain.”
            “Oh, tak sangka awak suka membaca juga ya. Novel Inggeris pula tu!” kataku sedikit menghormatinya. Mungkin aku tak perlu memanggil lelaki ini ‘robot Jepun’ kerana dia juga peminat buku.
            “Awak beli novel apa?” tanya Afi.
            “Ini..” kataku sambil mengunjukkan novel John Norafizan.
            Coklat (yang manis)? John Norafizan? Tak pernah dengar pun novel ni.”
            “Tak pernah dengar namanya? Hmm... mungkin dia tak terlalu terkenal berbanding Ramlee Awang Murshid, Ahadiat Akashah dan lain-lain.”
            “Oh, penulis-penulis novel Melayu tu. Saya tak baca. Maksud saya, saya tak pernah baca novel-novel Melayu. Saya banyak membaca novel-novel Inggeris. Lagi seronok!”
            Dari nada suaranya, aku dapat mengesan betapa jengkelnya Afi.. eh, bukan.. ‘robot Jepun’ ni pada novel-novel Melayu.
            Helo, awak tu Melayu bukannya orang putih atau pun orang Jepun. Jadi, sila kagum pada bangsa sendiri.
            “Awak ni memang dasar robot la. Kalau awak tak suka minat seseorang tu, tak payah la memerli apa yang dia suka!”
            Tiba-tiba, aku naik ‘minyak’ tak tentu fasal. Sakit hati betul aku pada mamat ‘bajet orang putih’ ni.
            Err... maafkan saya, Yana! Saya tak bermaksud nak menghina minat awak. Masa di rumah awak pun, saya tak berniat nak menghina K.Pop! Cuma pandangan saya aje!”
            “Cukup! Tiada lagi maaf buatmu! Sila beri laluan pada saya. Saya nak bayar novel yang kurang menarik ni, bagi awak!”
            Seperti terpaksa, ‘robot Jepun’ ini memberi laluan kepadaku.
            Dengan langkah seorang diva, aku bergerak ke kaunter bayaran sebelum meninggalkan mamat sewel itu keseorangan.
            Dia masih lagi terpinga-pinga di situ.
            Ah, lantak la ‘robot!’ Yang penting hatiku tengah panas.
            Perang perlu dimulakan juga.
            Aku nak pesan pesawat F/A 18 Hornet untuk mengebom bilik bernama Afi, malam ini juga.
Selesai Babak 5
            Aisey, kenapa pula pesawat F/A 18 Hornet yang aku pesan ni tak sampai lagi.
            Kejap nak semak e-mel.
            Ala... tak cukup duit pula. Terpaksalah pakai tombak dulu untuk buat serangan pertama.
            Sedihnya aku. Kenapa mesti ada lelaki macam ‘robot Jepun’ tu.
            Memang dasar mulut tak ada lampu isyarat.
            Tahulah belajar di luar negara, janganlah menghina bahasa sendiri.
            “Ala, dia bergurau aje tu, Kak Yana!”
            Banyak la bergurau, Aimi oi. Dia hina bahasa kita tu.
            “Kak Yana yang terlebih emosional ni!”
            Kau ni berpihak pada Kak Yana ke atau pada dia? Mentang-mentang la dia bakal jadi abang ipar kau.
            “Kak Yana ni!” Pipinya mengembung kembali.
            Kali ini aku sempat cubit pipi kanannya.
            “Aduh! Sakit la Kak Yana!”
            Kami ketawa.
            Lain kali jangan kembungkan pipi lagi. Lepas ni, Kak Yana cubit yang sebelah kanan pula.
            “Ya la! Aimi tak akan kembungkan pipi lagi!”
            Aku senyum.
            “Kak Yana pun janganlah nak stres sangat.”
            Macam mana tak stres, asyik terserempak dengan ‘robot Jepun’ tu aje. Benci Kak Yana tau!
            “Sekarang benci! Esok lusa, sayang!”
            Aimi! Nak kena cubit lagi ni!
            “Tak nak! Umi... tolong! Ada raksasa Korea nak cubit pipi Aimi!”
            Kami berdua terus ketawa dengan riangnya, melupakan seketika tahap kebencian aku pada lelaki langkau rumah sebelah.
            Benci jadi sayang!
            Tak mungkin!

No comments:

Post a Comment