Wednesday, November 21, 2012

KAU K.POP, KU J.ROCK: BAB 4



Bab 4
            Dua kesalahan yang saya telah lakukan dalam masa seminggu. Kedua-duanya merupakan kesalahan besar.
            Rasanya mahu saja aku melompat turun mengikut tingkap bilik saya ini. Biar terkehel terus leher ini.
            Astaga! Bunuh diri tu berdosa, Afi!
            Astaga! Apa yang saya fikirkan ni. Terima kasih kerana mengingatkan saya.
            “Itu la, abang! Terlebih emosi sangat. Cuba terima apa yang perempuan tu suka. Ini tak, nak ikut kehendak sendiri saja. Entah apa yang orang Jepun tu ajar abang pun, adik tak ta...”
            Sebiji bantal melayang mencari sasaran.
            Fahmi mengelak. Dia tertawa.
            “Adik dah cakap hari tu, adik kan dah dapat kuasa Spiderman sense. Itu semua kerana kuasa C.I.N.T.A!”
            Isy, adik saya memeningkan lagi kepala ini.
            “Adik nak bagi ‘solusi’ atau nak beri ceramah C.I.N.T.A kat bilik abang ni? Cepat beri kerjasama atau abang panah kau dengan chidori abang!”
            Tekanan darah saya mula memuncak. Bila-bila masa saja tekanan ini akan meletus menghasilkan satu letusan yang tak akan dapat digambarkan.
            Uii... abang aku sedang marah! Takutnya saya!” sindir Fahmi sambil pura-pura menggigit kesemua jarinya tanda ketakutan.
            Boomm...
            Akhirnya, layangan bantal saya tepat ke mukanya.
            “Abang ucapkan tahniah pada adik kerana berjaya menerima lontaran bantal abang.”
            “Wah, bangganya adik! Akhirnya, abang aku berjaya menjadi pelontar bantal yang berjaya!”
            Kami berdua ketawa bagaikan mahu menggegarkan seisi alam.
            Ketawa kami sirna apabila ada ‘siren polis’ berbunyi.
            “Fahmi! Afi! Apa yang gelak-gelak tu? Jangan gelak kuat sangat, ganggu orang sebelah!”
            Saya dan Fahmi hanya tersenyum sahaja apabila ayah menegur. Tak berani gelak kuat-kuat lagi.
            Saya membaringkan diri di atas katil. Fahmi pula berdiri dan menghadap ke arah jendela, memandang ke rumah ‘gadis idamannya’.
            “Adik tahu Abang Afi suka pada Kak Yana kan?”
            Bisu. Saya buat-buat tertidur.
            “Tak payah buat-buat tertidur la, abang! Baru pukul 10 malam!”
            Saya membatukan diri sambil buat-buat berdengkur.
            “Suka hati abang la! Tapi, saya nak nasihatkan abang sikit. Kalau abang suka pada Kak Yana, cuba terima apa yang dia suka. Walau se-anti mana pun abang pada K.Pop atau novel-novel bahasa Melayu, abang kena belajar untuk mengenal dirinya. Barulah dia akan belajar mengenali diri abang.”
            Tiada jawapan daripada saya.
             “Saya cuma nak nasihatkan pada abang saja. Terpulang pada abang. Okey, babai! Oyasumi nasai!”
            Wah, dah pandai ucap ‘selamat malam’ dalam bahasa Jepun. Tak sia-sia saya ajar adik sendiri.
            Dalam kelam, saya dapat mendengar pintu bilik dibuka dan ditutup.
            Dengan perlahan-lahan, saya membuka mata.
            Saya keseorangan.
            Saya bangun dan duduk menyandar ke dinding katil.
            Saya mengeluh panjang.
            Sesekali mata saya melirik ke luar jendela, memandang ke arah rumah Yana yang masih berderang dengan lampu.
            Di sebelah rumah saya, tinggal sepasang suami isteri berketurunan India. Mereka berdua masih lagi muda.
            Saya memanggil suami, Abang Lawrence. Nama penuh Lawrence George.
            Isterinya, Anne George.
            Mereka berdua penganut agama Kristian.
            Umur mereka berdua cuma berbeza lima tahun daripada saya. Seorang bekerja sebagai jurutera projek di salah sebuah syarikat kontraktor manakala Kak Anne menjadi suri rumah sepenuh masa.
            Mereka berdua sangat peramah dengan saya sekeluarga. Begitu juga dengan keluarga Yana. Cuma memang tak dapat hadir semasa kenduri Yana kerana perlu pulang ke kampung di Bahau, Negeri Sembilan. Ibu Abang Lawrence sakit.
            Abang Lawrence unik. Begitu juga dengan isterinya. Dia tidak lokek berbual dengan saya mengenai kejuruteraan.
            Kak Anne suka sangat membaca novel-novel Melayu. Katanya, dia sangat suka novel Fauziah Ashari, Ombak Rindu sampai sanggup memujuk Abang Lawrence untuk menonton filemnya di pawagam.
            Selain novel Ombak Rindu, Kak Anne juga suka membaca novel-novel Noor Suraya. Novel Nyanyian Tanjung Sepi dan Biru Ungu Cinta.
            Saya jadi hairan kenapa Kak Anne begitu berminat pada novel-novel Melayu sedangkan saya sendiri bangsa Melayu agak susah untuk menerima novel-novel Melayu.
            Kata Kak Anne ketika saya mengunjungi dia dan Abang Lawrence, “Kakak suka baca novel-novel Melayu sebab bahasanya indah. Bahasa Melayu kan indah. Kakak nak terangkan pun kakak tak pandai sangat. Kalau nak tahu, Afi bacalah novel-novel tulisan Noor Suraya dan Fauziah Shaari. Tentu Afi akan suka.”
            Saya tersenyum sahaja apabila Kak Anne cakap macam tu.
            Perbincangan saya terarah pada hubungan Abang Lawrence dan Kak Anne. Abang Lawrence yang suka bergurau tu sudi bercerita tentang bagaimana susahnya dia nak berkahwin dengan Kak Anne.
            “Keluarga Abang Lawrence susah. Kehidupan kami hanya berdasarkan kerja-kerja mengait kelapa sawit di ladang berdekatan rumah kami. Tapi, demi masa depan, abang Lawrence tetap berusaha untuk sambung belajar di salah sebuah universiti swasta ibu kota. Di situ la, abang bertemu dengan kakak kamu ni.”
            Abang Lawrence berhenti. Dia memandang Kak Anne yang tersipu-sipu malu.
            “Abang memang sayangkan Kak Anne tapi bapa abang tak kasi kahwin. Dia suka sangat rampas duit ibu abang untuk berjudi dan minum arak. Pada suatu hari, dia halau abang kalau abang nak kahwin. Abang nekad Afi. Abang nekad untuk lari dan kahwin dengan Kak Anne!”
            Khali seketika. Saya dapat berasakan suasana hening ketika ini.
            Abang Lawrence menyambung, “Abang tak ada duit untuk berkahwin ketika itu. Tapi, mungkin Tuhan nak tunjukkan siapa sahabat kita. Seorang sahabat abang sanggup meminjam wang RM2000 daripada along, semata-mata hendak membantu abang kahwin. Abang tak tahu bagaimana dia berani meminjam wang daripada along tapi abang tetap terhutang budi kepadanya. Sampai sekarang abang sanggup bayar balik hutang dia dengan bunganya sekali. Dialah satu-satunya sahabat yang paling baik pernah abang kenal.”
            Kak Anne memeluk bahu Abang Lawrence.
            Dari sinar matanya, dia seakan-akan berkata, “Sudah la, abang! Barang yang lepas tu biarlah. Yang penting kita bahagia!”
            Abang Lawrence hanya tersenyum. Saya juga turut menguntum senyum.
            Saya dapat merasakan betapa besarnya aura cinta. Benarlah kata orang, kalau nak bercinta mesti berkorban.
            Saya tak pernah bercinta. Minat pada orang lain ada la semasa sekolah.
            Tapi, saya sekarang sudah jatuh cinta. Masalahnya saya tak pandai nak ambil hati perempuan yang saya sayang.
            Kata Abang Lawrence lagi, “Kita perlu memahami minat di antara kita. Kalau salah seorang buat keras kepala, tiada toleransi, formulanya jadi mudah, tiadalah cinta.”
            Ungkapan Abang Lawrence itu mudah tapi terus-terusan terngiang-ngiang di gegendang telingaku.
            Formulanya akan jadi begini:
            Keras kepala + tiada toleransi = tiada cinta.
            Mudah tapi susah.
            Seperti hari tu, ketika saya terserempak dengan gadis K.Pop itu.
            Hai, dah nasib badan.
Babak 6
Lokasi: MPH Midvalley
Tujuan: Cari buku baharu
            Buat pertama kalinya, setelah tiga tahun, saya menjejakkan kaki ke Pusat Membeli-belah Midvalley. Kali terakhir saya datang ke sini, kira-kira tiga tahun yang lalu. Itu pun saya datang untuk membeli beg bagasi sebelum saya berlepas ke Jepun.
            Banyak betul kedai-kedai baharu yang dibuka. Dan banyak juga kedai-kedai sudah beralih tempat.
            Berbekalkan motosikal Fahmi (saya menumpang dia sebenarnya sebab dia bekerja sementara di sini), saya terus mampir ke kedai buku itu.
            Entah kenapa, sebelum masuk ke dalam kedai, saya berhenti sekejap di hadapan pintu. Saya menghirup seketika udara kedai itu. (Kononnya nak menghirup bau buku. Padahal macam-macam bau yang masuk ke dalam lubang hidung ini)
            Lantas, saya terus masuk dan langsung ke bahagian novel bahasa Inggeris. Saya jadi rambang mata seketika melihat senarai buku-buku yang tersusun.
            “Beli! Beli!”
            Itu yang berlegar-legar dalam kepala ini memandangkan duit biasiswa untuk bulan ini tidak disentuh lagi. (Maklumlah, hari tu naik kapal terbang pun ayah tanggung. Jadi, orang kaya la sekejap)
            Saya menarik novel terbaharu penulis thriller Amerika Syarikat, Robet Ludlum. Buku terbaharunya iaitu The Bourne Legacy disambung oleh Eric Van Lustbader.
            Jika kawan-kawan pernah tengok triologi filem Bourne iaitu The Bourne Identity, Bourne
Supremacy dan The Bourne Ultimatum lakonan Matt Damon, inilah penulis asalnya.
            Saya benar-benar teruja.
            Kemudian, jari-jemari saya membelek pula novel-novel lain.
            Oh, saya masih belum lagi berkesempatan membeli buku-buku lain penulis Britain
kelahiran Jepun, Kazuo Ishiguro.
            Namanya terkenal setelah novelnya iaitu Never Let Me Go dijadikan filem. Pelakon filem
Pirates of the Caribbean, Keira Knightley dan pelakon The Amazing of Spiderman, Andrew Garfield menjadi antara watak utama filem ini.
            Saya perlu mencuba novel An Artist of the Floating World untuk dihadamkan ketika cuti masih berbaki beberapa minggu lagi.
            Saya berkira-kira untuk membuat bayaran di kaunter apabila saya terpandangkan wajah seseorang.
            Dia amat saya kenali.
            Dia juga yang sentiasa membuat hati saya tidak keruan.
            Dia...
            “Yana!”
            Dia terhenti.
            “Eh, Yana! Tak sangka jumpa awak di sini. Kebetulan!”
            Perlahan-lahan dia menoleh ke arah saya.
            Jantung saya bagaikan mahu luruh apabila terpandangkan wajahnya.
            Saya tersengih.
            “Haah, tak sangka ya! Awak buat apa kat sini?”
            “Oh, ya! Saya nak beli beberapa buah novel Inggeris ni. Saya suka baca novel-novel macam John Grisham, Haruki Murakami, Kazuo Ishiguro dan Robert Ludlum. Robert Ludlum ni penulis ‘tetralogi’ The Bourne Identity dan lain-lain.”
            Dia memberikan reaksi terkejut. Mungkin tidak menyangka saya juga suka membaca. Hati saya kembali berbunga. Peristiwa seminggu yang lepas menerpa ke dalam ruang minda ini.
            Saya perlu minta maaf.
            “Oh, tak sangka awak suka membaca juga ya. Novel Inggeris pula tu!” katanya sambil mulut comelnya menguntum senyum.
            Cepat, Afi minta maaf. Jangan jadi macam pelakon Amitabh Bachchan dalam filem Cheeni Kum. Terpaksa berlatih setiap hari demi mengucapkan perkataan, “Maafkan saya!” kepada heroin filem itu, Tabu.
            Saya tak nak jadi macam itu.
            “Awak beli novel apa?”
            Aduh, itu pula yang keluar dari mulut saya. Tak perlulah nak berbasa-basi terlalu lama sangat.
            “Ini..” katanya sambil mengunjukkan sebuah novel Melayu bertajuk Coklat (yang manis).
            Saya melirik mata ke bawah novel untuk mengetahui siapa penulisnya.
            Coklat (yang manis)? John Norafizan? Tak pernah dengar pun novel ni.”
            Yana tersenyum sebelum menggenggam erat novel itu.
            “Tak pernah dengar namanya? Hmm... mungkin dia tak terlalu terkenal berbanding Ramlee Awang Murshid, Ahadiat Akashah dan lain-lain.”
            Dan, sumpah jika saya boleh jadi Superman, saya akan terbang dan mengelilingi bumi untuk menterbalikkan peredaran bumi. Macam yang dia lakukan dalam filem Superman yang pertama dulu. (Kononnya dapat menarik balik kata-kata saya selepas ini. Konon la...)
            “Oh, penulis-penulis novel Melayu tu. Saya tak baca. Maksud saya, saya tak pernah baca novel-novel Melayu. Saya banyak baca novel-novel Inggeris. Lagi seronok!”
            Saya lihat wajahnya mula berubah.
            Jika tadi, wajahnya sedang ceria tapi sekarang wajahnya mula masam mencuka.
            Ah, sudah! Saya tersilap kata lagi.
            “Awak ni memang dasar robot la. Kalau awak tak suka minat seseorang tu, tak payah la memerli apa yang dia suka!”
            Alamak, dia sudah naik marah! Apa yang nak buat ni?
            Hubungi Fahmi? Hubungi 999? Gawat ni!
            Err... maafkan saya, Yana! Saya tak bermaksud nak menghina minat awak. Masa di rumah awak pun, saya tak berniat nak menghina K.Pop! Cuma pandangan saya aje!”
            Tergagap-gagap saya cuba menyelamatkan keadaan. Kalau boleh, saya tak mahu dia langsung membenci saya.
            “Cukup! Tiada lagi maaf buatmu! Sila beri laluan pada saya. Saya nak bayar novel yang kurang menarik ni, bagi awak!”
            Jika kawan-kawan pernah baca manga atau pun pernah tonton anime di televisyen, kawan-kawan mesti pernah tengok watak-watak dalam cerita tu dicucuk oleh anak panah dialog orang lain. Dialog yang memerli watak itu.
            Itulah yang saya rasakan sekarang.
            Dan, seperti sebuah robot, saya memberikan laluan padanya.
            Dia membuat bayaran di kaunter sebelum melangkah ke muka pintu dan menyelak rambutnya ala-ala diva. (Itu imaginasi saya sahaja kerana dia ni memakai tudung. Imaginasi kepada seorang yang gagal)
            Saya terus terpaku di situ tanpa sebarang pergerakan.
            Hati saya benar-benar tersentap.
            Sehinggalah seorang makcik datang dan berkata, “Bila masa ada patung kat MPH ni? Aku silap masuk kedai pakaian ke?”
Selesai Babak 6
            Malam itu, saya bertemankan dengan kisah cinta agung Abang Lawrence dan Kak Anne serta kisah ‘kesengalan’ saya dalam memikat wanita.
            Berbekalkan fon telinga berjenama Sony dan MP3 yang saya beli di bandar elektrik, Akihabara, Jepun, saya memasang kuat-kuat lagu Yesterday dendangan kumpulan The Beatles.
            Why’d she have to go?
            I don't know, she wouldn't say
            I said something wrong
            Now I long for yesterday.
            Oh, apa yang saya perlu buat sekarang untuk memikat hatinya?
            Menjadi apa yang dia impikan? Menjadi apa yang dimintanya, bak kata kumpulan Dewa dalam lagu Selimut Hati.
            Oh, kebingungan!
            Perlahan-lahan, saya menekan punat pada MP3 itu.
            Terus, saya melalak dengan lagu Loop and Loop, melalak bersama-sama dengan vokalis kumpulan Asian Kungfu Generation.
            Cinta itu perlu memahami.



           

No comments:

Post a Comment