Saturday, November 17, 2012

KAU K.POP, KU J.ROCK: BAB 1



Bab 1
            Kalau aku ada senjata api, AK47 atau paling lekeh pun Glock 16, manusia pertama yang aku akan tembak ialah lelaki itu. Lelaki mana?
            Lelaki yang tinggal langkau serumah daripadaku.
            Kenapa?
            Jangan banyak soal boleh tak! Aku tengah ‘angin’ ni. Biarlah orang kata cepat tua ke, kahwin lambat ke. Yang penting aku sedang marah!
            Tenang Yana tenang.
            Tarik nafas dalam-dalam. Kemudian hembuskan perlahan-lahan.
            Kalau kawan-kawan semua nak tahu, lelaki yang tinggal di rumah itu aku anggap sebagai lelaki sewel.
            Sebab apa?
            Sebab dia selalu sakitkan hati aku. Dia telah mencemarkan keseronokan aku dengan alunan muzik yang paling aku suka.
            Muzik apa?
            Muzik pop Korea atau pun kalau kawan-kawan mungkin sudah sinonim dengan muzik K.Pop.     
            Lelaki itu mengejek muzik aku (rasanya macam mengejek tetapi tidaklah teruk sangat, saja buat lebih drama). Kononnya muzik yang aku minat tu terlebih syok sendiri dengan muka ‘bajet kiut’ – khas untuk lelaki. Kalau perempuan, dia okey aje sebab lumrah perempuan akan ada yang ‘kiut’.
            Cis... dan cis...
            Kawan-kawan nak tahu kisah lanjut mengenai lelaki sewel yang aku cerita?
             Cepatlah angguk macam kamera dalam televisyen mengangguk-angguk, kononnya kawan-kawan yang bagi jawapan.
            Okey, aku anggap semua nak tahu apa yang berlaku. Sila lirik mata anda semua ke bawah ya untuk mengetahui apa yang berlaku. Sekejap lagi kita jumpa semula.
Babak 1
            Kata umi, kita hidup berjiran ni kena la selalu tolong-menolong dan bertegur-sapa sesama kita. Tidak kira agama apa yang dianuti, dari mana dia datang dan apa yang dia lakukan (melainkan dia bukan orang  jahat – tambah aku).
            Kata umi, dengan berbuat sebegitu, kita tidak akan dianggap sombong dan hidup kita sesama orang lain akan jadi mudah dan aman.
            Disebabkan umi berpegang pada kata-kata itu, setiap sebulan sekali akan ada kenduri kesyukuran yang dianjurkan umi di rumah kami.
            Umi akan menjemput rakan-rakannya dari sekitar kawasan perumahan kami untuk bergotong-royong memasak hidangan.
            Umi boleh memasak hampir semua jenis masakan. Namun, umi lebih selesa memasak lauk berasakan masak lemak. Kena dengan asal-usul umi yang berasal daripada Lenggeng, Negeri Sembilan.
            Maka, riuh-rendah pagi tu di bahagian dapur mendengar celoteh rakan-rakan umi mengenai gosip artis tempatan, luar negara mahupun di kawasan perumahan itu.
            Contohnya:
            - Kau tahu, Pah, anak Si Senah tu bersalin tak ada suami.-
            Atau:
            - Bib, aku dengar Aaron Aziz nak kahwin lagi. Dengar kata, orang Malaysia, orang Johor pula tu! -
            Atau:
            - Hai, Cik Eija! Melaram sakan nampak. Nak ke konsert Justin Bieber esok ke? Dia kan buat konsert di Sunway nanti. –
            Oh, tolonglah. Kalau tidak kerana umi yang paksa aku turun ke dapur bersama-sama membantu, mahu sahaja aku lepak-lepak sahaja di dalam bilik. Boleh menonton drama Korea, konsert 4Minute atau Big Bang. Kalau tak pun, boleh sambung baca novel Gerabak Merah Jambu. Ada penulis baharu, Kamalia yang menulis dengan gaya menarik. Aku baru nak cuba membaca buku itu. Dalam komuniti pembaca dalam talian, Goodreads, ramai yang memberikan respons positif.
            Oh, abang ‘kiut’ G.Dragon!
            Tiba-tiba aku teringatkan wajah comel salah seorang ahli kumpulan Big Bang itu.
            “Apa yang Kak Yana khayalkan tu?”
            Aku tersentak. Tak perasan bila pula adikku, Aimi berada di depanku.
            “Eh, Aimi buat apa kat sini?” tanyaku hairan.
            “La, Aimi memang ada kat depan kak sejak tadi lagi la. Umi yang suruh Aimi turun ke dapur, bantu apa yang boleh. Ni Aimi tengah bantu potong bawang,” kata Aimi sambil menanggalkan cermin mata yang dipakai. Perlahan-lahan dia memasukkan hirisan bawang yang sudah dipotong ke dalam satu bekas yang berada di sebelahnya.
            Kemudian, dia mengambil beberapa ulas bawang lagi dan bersedia untuk memotong kembali.
            Adikku tidak jadi memotong apabila melihat aku yang tidak lepas daripada memandangnya. Dahinya berkerut.
            “Kenapa Kak Yana pandang saya macam tu? Dah la baru seulas dua yang Kak Yana potong. Mengelamun ja memanjang! Isy, bagi sini bawang tu. Nanti umi bising-bising, Aimi tak nak tanggung!”
            Aku tersengih. Namun, aku menunjukkan tapak tanganku kepadanya tanda tidak mengapa. Perlahan-lahan, aku memotong beberapa ulas bawang.
            Aimi hanya mengeleng-gelengkan kepala.
            Sebetul-betulnya aku tak mahu memotong bawang sekarang. Takut mataku berair.
            Dengan cekap Aimi menyambung kerja-kerjanya kembali.
            Aimi hanya muda tiga tahun daripadaku memang cekap membuat kerja-kerja rumah. Air tangan umi memang jatuh ke atasnya.
            Dia baru sahaja selesai menjawab kertas terakhir STPM minggu lepas. Sementara menantikan keputusan STPM yang bakal keluar tidak lama lagi, dia banyak membantu umi di rumah.
            Aku tidak dapat menolong sangat kerana berada di universiti.
            Oh, untuk pengetahuan kawan-kawan, aku bakal bergraduasi tahun depan. Selepas ini, Nur Liyana Binti Farhan ini bakal memiliki Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Melayu dengan Cemerlang (berangan sebenarnya tapi insya-Allah setakat ini keputusan sedang elok).
            Seperti Aimi, aku juga sedang bercuti sementara menantikan semester baharu akan dibuka. Cuma bezanya aku sudah pun mengetahui keputusan peperiksaan semester lepas.
            Alhamdulillah! Umi adakan kenduri kesyukuran ini untuk meraikan kejayaan aku mendapat Purata Nilai Gred Terkumpul atau singkatannya dalam bahasa Inggeris, CGPA: 4.0.
           Memang umi selalu menganjurkan kenduri kesyukuran tetapi kenduri kali ini sangat istimewa demi untuk aku.
            Sayang umi!
            “Psstt...
            Aku tekun memotong bawang.
            Psstt... Kak Yana!”
            Aku mengambil seulas bawang yang baharu dan terus memotong.
            “Kak Yana, janganlah buat-buat pekak! Nanti saya potong bawang ni depan Kak Yana baru tau. Menangis lagu Kisah Hati la, Kak Yana!”
            “Iya, Kak Yana dengar! Apa dia?” tanyaku sedikit melenting.
            “Ayah ada jemput Pakcik Adli dan keluarganya. Fahmi dan abangnya akan datang sekejap lagi.”
            Jika kawan-kawan pernah melihat siri-siri anime dalam televisyen, kawan-kawan semua mesti pernah melihat adegan bunyi kaca berderai apabila seseorang tersentak.
            Dan itu apa yang aku dengar sekarang.
Babak 1 selesai
            Okey, mari kita berkenalan dengan keluarga Pakcik Adli dulu dan juga ayahku sebelum aku cerita babak seterusnya.
 1)      Ayah         : Nama sebenar ialah Mohd Farhan Bin Amir.
                    Umur 48 tahun.
                    Bekerja sebagai Penolong Pengarah sebuah jabatan bahasa milik kerajaan.
                          Berasal dari Alor Setar, Kedah.
                          Berkahwin dengan umi iaitu Norsa’adiah Binti Harun.
                          Umi tidak lagi bekerja setelah anaknya yang sulung habis UPSR. Kata umi, dia selesa  menjadi suri rumah sepenuh masa setelah penat bekerja di institusi perbankan.
2)      Pakcik Adli : Nama sebenar tak tahu.
                     Tinggal selang serumah daripadaku.
                      Asal dari Pasir Mas, Kelantan.
                      Berkahwin dengan Makcik Siti Akmal yang juga orang Pasir Mas, Kelantan.                       (Dengar kata gadis-gadis Pasir Mas lawa. Tak hairan la Makcik Siti atau pun dia selalu bahasakan diri dengan Auntie Mal ni lawa)
                      Pakcik Adli ni sepejabat dengan ayah cuma di bahagian kewangan. Auntie Mal  (lepas ni akan dikenali sebagai Makcik Siti sahaja; bagi aku) masih lagi bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan sebagai akautan. Tapi, tak lama lagi akan mengikut jejak umi untuk menubuhkan Persatuan Suri Rumah Taman Sri  Kenari, Kajang, Selangor.
                      Mempunyai dua orang anak iaitu Fahmi dan Afi. Mungkin kebetulan kedua-duanya sebaya dengan aku dan Aimi. Fahmi berumur 19 tahun merupakan pelajar tahun pertama kejuruteraan mekatronik di universiti selatan tanah air sementara Afi berumur 22 tahun, pelajar tahun ketiga kejuruteraan mekanikal di Universiti Iwate, Jepun.
              Okey, tamat sesi taaruf. Kita sambung babak seterusnya.
Babak 2
            Aimi tertunduk malu ketika imam surau sedang membaca doa selamat di ruang tamu rumah. Ayah dan Pakcik Adli duduk sebelah-menyebelah berdekatan Tok Imam sambil tekun mengaminkan doa.
            Kaum lelaki begitu ramai yang hadir, rata-rata datang dari surau setelah usai menunaikan solat zuhur. Kaum wanita termasuk aku, Aimi dan umi menunggu di ruang tengah rumah bersedia untuk menyerahkan hidangan makanan ke ruang tamu.
            Hanya Aimi yang sedikit ke hadapan dengan agenda mahu melihat wajah Fahmi lebih dekat lagi.
            Aku tak pasti penyakit ‘gila cinta’ apa yang hinggap pada Aimi tapi daripada khabar angin rakan-rakannya, Fahmi meluahkan cintanya pada Aimi semasa keputusan SPM dahulu diumumkan di sekolah.
            Hai, budak-budak zaman sekarang! (Sambil mengeleng-gelengkan kepala dua tiga kali)
            Abang Si Fahmi, Afi duduk di sebelah adiknya. Mukanya sedikit cerah, berambut ‘spiky’ dan sedikit gempal berbanding Fahmi. Kalau kedua-duanya berdiri bersebelahan, Fahmi lebih tinggi daripada abangnya.
            Hmm... Afi tidaklah rapat sangat denganku walaupun kami berdua pernah berada dalam satu kelas semasa sekolah rendah. Keluarga Pakcik Adli sudah lama berada di kawasan perumahan ini sebelum keluargaku berpindah ke sini.
            Aku masuk kelas yang sama dengan Afi sewaktu darjah 4 dan berlanjutan sehingga kami menghadapi UPSR.
            Kami berdua memang jarang bertegur sapa. Namun, kami berdua merupakan musuh ketat dalam ranking ‘kepandaian’ kelas. Aku selalu bersaing dengan Afi untuk merebut takhta ‘siapa yang paling pandai’.
            Selalunya Afi yang akan menang. Dia terhebat dalam subjek Matematik dan Sains. Aku pula terhebat dalam subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris walaupun dalam subjek-subjek lain pun aku selalu mencabar Afi.
            Di peringkat sekolah menengah, kami berpisah. (Cewah, macam pasangan bercinta pula)
            Aku ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Taiping, Perak sementara dia ke Sekolah Menengah Sains Selangor, Cheras.
            Kami jarang berjumpa selepas itu.
            Sehinggalah dia mendapat tawaran ke Jepun, lagilah aku susah nak lihat batang hidung dia. Kata Aimi, ini merupakan kali pertama Afi pulang ke tanah air sejak berangkat ke Jepun tiga tahun lepas. Itu pun setelah dipaksa ayahnya untuk pulang.
            Memang masalah betul budak ni.
            Amin!
            Tetamu yang hadir mengaminkan doa sebelum masing-masing mula berbisik.
            Aku dan Aimi berdiri dan bersedia menjadi ‘orang tengah’ untuk menyerahkan dulang-dulang berisi nasi dan lauk-pauk kepada para hadirin.
            Fahmi awal-awal bangun sebelum Afi buat-buat malas untuk membantu aku dan Aimi.
           Dia mengukir senyuman manis buat adikku yang tersenyum malu-malu.
            “Rajin bakal suami! Sejuk mata umi nanti!” usikku.
            Aimi yang sedang memegang dulang yang sarat dengan makanan itu mengembungkan pipinya tanda protes.
            “Kak Yana ni! Saja je!”
            Aku mengulum senyum, puas hati mengusik adikku sendiri.
            Kedua-dua belah tanganku menahan beban dulang. Aku menyuakannya kepada Afi yang baru selesai meletakkan dulang yang berhampiran.
            Wajahnya hambar. Tiada sebarang perasaan pada mukanya. Ala-ala wajah pelakon Hollywood, Keanu Reeves ketika melakonkan watak Neo dalam trilogi The Matriks dan juga John Constantine dalam filem Constantine. Tak serupa dengan adiknya yang murah dengan senyuman.
            Setelah semua makanan diedarkan, aku dan Aimi mengambil kesempatan  menjamu selera di dapur. Di belakang ni lagi riuh rupanya daripada pihak lelaki yang berada di hadapan. Gosip pagi tadi bersambung semula.
            Contoh:
            - Ala, Yah! Si Senah memang dari dulu macam tu. Kahwin ‘lompat-lompat’. Tu yang terkena pada anaknya sekali. –
            Atau:
            - Kenapa mesti orang Johor, Nor? Aku ni orang ‘asli’ Selangor, Si Aaron Aziz tu tak nak pula. Tak kan nak tukar surat beranak Johor kut? Isy, melepas aku –
            Atau:
            - Justin Bieber apanya, Cik Fiqah oi. Aku mana dengar lagu dia. Esok, Zizan Razak nak turun Kajang. Aku nak pergi beri sokongan. Oh, Zizanku! –
            Pendek kata, aku hanya menjadi ‘pendengar setia’ gosip-gosip panas di dapur ini sambil menyuap nasi dan mengunyahnya perlahan-lahan.
            Adikku, Aimi pula sedang menghendap-hendap dari sebalik pintu dapur, bermain aci sembunyi dengan Fahmi.
            Hai, budak ni! Tak fasal-fasal aku lempang dengan pinggan aku ni kan.
            Disebabkan aku kebosanan kerana tiada siapa yang melayan, maka aku melayan jiwaku sendiri dengan memaparkan imej seorang lagi anggota kumpulan Big Bang, Seungri.
            Oh, Seungri yang ‘kiut’, aku tak sabar nak melihat kau beraksi dalam skrin komputerku.
            Akhirnya, jam tiga petang, kenduri selesai. Tapi, urusan mengemas belum selesai.
            Sudahnya, anak-anak Encik Farhan dan anak-anak Pakcik Adli ditugaskan sebagai ‘penyental kotoran degil dengan Axion di belakang dapur’.
            Bagi Aimi, inilah saat-saat istimewa yang pernah wujud dalam diari hidupnya. Mana tidaknya, dapat beramah mesra dengan buah hati siang dan malamnya, Si Fahmi.    
            Bagi aku pula, “Apa motif umi nak suruh Yana jadi tukang cuci sekali dengan anak-anak Pakcik Adli?”
            Jawab umi sambil tersenyum, “Yana! Hidup berjiran ni, kita kena juga saling kenal-mengenali sesama kita untuk merapatkan silaturrahim. Jadi, apa salahnya bekerjasama dengan mereka. Boleh berkenal-kenalan dengan Fahmi dan juga Afi.”
            Wajah umi sirna dan berganti dengan wajah Afi yang masih belum mahu membuka mulut walaupun sepatah.
            Aimi dan Fahmi rancak berbual. Kadang-kadang mereka bergelak ketawa.
            Tiba-tiba aku jadi cemburu. Mukaku masam mencuka memerhatikan Afi yang tekun membilas pinggan, mangkuk, sudu dan garpu yang sudah aku cuci.
            Aku senyum geli hati melihat telatah Afi itu.
            Huh, memang sebiji macam robot. Ni mesti orang Jepun sana dah berjaya pengaruh budak ni. Dalam otak dia mesti dah disetkan begini:
1)      Tunggu Yana ambil pinggan, mangkuk, sudu dan garpu.
2)      Tunggu Yana cuci kesemuanya
3)      Setelah Yana meletakkan semua peralatan itu dalam besen berisi air bersih, ambil satu persatu dan masukkan ke dalam besen satu lagi yang berisi air bersih.
4)      Rendam dan angkat dua tiga kali sebelum semua peralatan itu diletakkan di atas alas kain bersih untuk mengeringkannya.
5)      Ulang arahan 1 hingga 4 sehingga kerja-kerja mencuci selesai.
            Aku menutup mulutku dengan tangan kiriku untuk mengelak daripada dikesan Afi. Ketawaku hampir pecah.
            Afi perasan. Tangannya berhenti bekerja.
            “Apa yang awak gelakkan tu?”
            Akhirnya, keluar sudah ‘emas yang digigit giginya’.
            “Mana ada! Lagipun suka hati sayalah nak gelak ke tidak! Mulut saya!”
            Aku mencebik marah sebelum menyambung kerjaku. Aku hanya mampu ketawa dalam hati.
            Afi menyambung kerjanya yang terhenti.
            “Bila awak nak habis belajar di Jepun tu?” tanyaku setelah berasa benci membuat kerja di sebelah ‘kayu’ atau pun ‘robot’. (Tapi, robot pun tahu bercakap, inikan manusia. Hai, dunia... dunia)
            “Insya-Allah, dua tahun lagi! Lepas selesai ronbun, baru saya soutsugyou!”
            Ronbun? Soutsugyou? Sila bercakap dalam bahasa Melayu ya!” Berkerut dahi aku menyebut dua perkataan yang pertama kali aku dengar.
            “Oh, maaf! Ronbun tu bermaksud tesis. Soutsugyou tu graduasi.”
            Aku senyum saja. Bersopan juga mamat ni, bermaafan dengan aku pula.
            “Ooo... maaf la. Bahasa Jepun saya tak tahu sangat. Kalau awak cakap dalam bahasa Korea, mungkin saya boleh cakap sikit-sikit!” ujarku sambil memasukkan lagi dua tiga keping pinggan ke dalam besen yang berdekatan Afi.
            “Bahasa Korea? Oh, jadi awak la yang selalu pasang lagu-lagu Korea kuat-kuat tu!”
            Hampir terjerit Afi sebelum disusuli dengan hilai tawa yang mengerikan.
            Apa kena mamat ni? bisikku.
            Fahmi dan Aimi yang sedang tekun bekerja terhenti memandang Afi.
            “Haah, saya la yang selalu pasang-pasang lagu-lagu Korea tu. Tapi tak ada la sampai kuat-kuat. Maaf la kalau menganggu awak!” kataku sedikit berasa bersalah.
            “Memang tak la terlalu kuat sangat. Tapi, kalau awak nak tahu saya memang anti-artis Korea. Bagi saya, mereka hanya ‘bajet kiut’ saja terutamanya lelaki. Kalau perempuan, saya tak kisah sangat sebab mereka tu perempuan. Kualiti lagu-lagu Jepun terutamanya J.Rock lebih baik daripada K.Pop. Begitu juga drama dan filem Jepun. Ada variasi! Tak seperti Korea yang penamat ceritanya dah boleh agak!”
            Dengan selamba, mamat ni membuat tohmahan tidak berasas kepada minat utama aku iaitu K.POP.
            Di dalam besen tempat aku bekerja, kedua-dua belah tanganku memegang garpu.
            Memang mamat ni nak jadi Kassim Selamat. Mulut tak ada insurans betul.
            Aku melihat kepada Aimi yang sudah tidak berasa senang duduk. Aku memberi isyarat dengan mataku.
            Aimi, cepat tolong Kak Yana! Kalau tak, mamat ni akan jadi watak utama filem baharu Kassim Selamat.
            Kak Yana ni. Dia bergurau je tu. Sabar la ya. Banyak lagi kerja ni.
            Kak Yana tak kira. Kak kira sampai tiga. Satu... dua...
            Aimi mengalah.
            Okey... okey!
            Aku melihat Aimi memandang ke arah Fahmi. Lelaki itu mengangguk-angguk tanda faham.
            Wah, bertuahnya Aimi dapat lelaki yang budiman. Tak macam abangnya yang bercakap tanpa lampu isyarat. Aku terpaksa pendekkan cerita. Tak kuasa aku nak ceritakan apa yang kurang enak terbit dari mulutnya.
            Habis nama-nama seperti Big Bang, Wondergirls, 2AM, 4Minute, dan PSY dengan Oppa Gangnam Style mendapat komen dia.
            Fahmi menepuk bahu abangnya dan berkata, “Ibu panggil pulang. Ada urusan lain katanya.”
            Afi membalas, “Abang tak dengar pun!”
            Kata Fahmi, “Abang tengah berleter yang bukan-bukan sebab tu tak dengar.”
            “Oh, okey! Jom!”
            Dia mencuci tangan dengan air yang bersih sebelum bangun dari tempat duduknya.
            “Jumpa lagi Aimi, Yana! Jangan marah ya!”
            Dia menguntum senyum.
            Mataku merenung tajam ke dalam matanya.
            Siaplah kau. Lepas ni, aku akan hala bazooka terus ke bilik kau dari bilik aku. Tunggu!
            Oh, K.Popku!
Habis Babak 2
            (Dalam mood sedih)
            Sedih tak cerita aku?
            Kalau kawan-kawan berada di tempat aku, kawan-kawan marah tak? Benda yang paling kita suka diperli orang lain.
            (Mengalir dua tiga air mata)
            Cepat angguk lagi. Sebagai tanda sokongan kawan-kawan pada aku.
            Mulai hari ini, aku akan isytiharkan perang. Perang Dunia Ketiga dengan lelaki perasan J.Rock macam robot, bernama Afi.
            Serang!

2 comments:

  1. Seriously tajuk novel ni buat sy klik link blog awak. sbb sy mmg peminat kpop, and at the same time dgr lah jgk lagu2 jepun.. *OST anime+AKB48 (mmg hntu akb ni) hehehe..

    tapi.. bila baca saya jd keliru pulak.. hurm.. mybe sy belum biasa baca ada babak, babak ni..

    ps: tak kire kpop ke jpop ke jrock ke.. ap shja music yg sedap di dgr di telinga saya, saya suka.. ^^

    ReplyDelete
  2. qminz,terima kasih kerana sudi membaca. Oo... sorang lagi K.Pop Fan. Hehe... sebenarnya ni saya sedang cuba teknik babak ke babak. Tak ada apa sangat pun cuba satu bentuk baharu yang saya cuba.
    Bila awak baca sampai bab 4 nanti, awak akan faham cerita babak ke babak. (Sebenarnya ia lebih kepada flash back)

    Terima kasih sekali lagi dan selamat membaca. :)

    ReplyDelete