Sunday, November 18, 2012

KAU K.POP, KU J.ROCK: BAB 2



Bab 2
            Ah, sudah!
            Uchiha Madara ni rupa-rupanya kawan rapat Hatake Kakashi.
            Uchiha Obito. Dari kaum pengguna mata sharingan.
            Huh, memang saspens!
            Opss.. maaf kawan-kawan semua. Sedang melayan anime kesukaan ramai, mungkin juga kawan-kawan.
            Naruto Shippuden.
            Opss.. sekali lagi. Lupa nak perkenalkan diri. Boleh baca biodata diri saya. Maaf tiada gambar.
BIODATA DIRI SAYA
Nama               :           Mohd Afi Bin Adli
Tarikh Lahir    :           20 April 19**
Tempat Lahir   :           Kota Bahru, Kelantan
Alamat                        :           Taman Sri Kenari, Kajang, Selangor
Pekerjaan         :           Masih belajar.
Tempat belajar:            Universiti Iwate, Jepun
Jurusan            :           Kejuruteraan Mekanikal
Tahun              :           Tiga
Minat               :           Membaca buku tidak kira novel Inggeris, manga mahupun buku motivasi
Status              :           Bujang (Tiada teman wanita)
            Saya berasa sangat bosan sikit kerana banyak terperap di rumah saja. Hai, nak buat macam mana. Kena paksa balik
            Habis rancangan saya untuk melawat rakan saya, Hatim yang berada di Hokkaido, Jepun. Kalau kawan-kawan nak tahu, Hokkaido tu merupakan sebuah pulau yang terletak di Utara Jepun.
            Mungkin kawan-kawan pernah nama Sapporo. Semasa pertandingan bola sepak Piala Dunia 2002, Sapporo Dome dipilih sebagai salah satu venue. Ala, satu-satunya stadium tertutup semasa Piala Dunia hari tu. Venue di mana pasukan England mengalahkan Argentina melalui sepakan penalti pemain pujaan ramai ketika itu, David Beckham.
            Satu lagi fakta tentang bola sepak. (Fakta lagi, haishh...)
            Di Sapporo Dome tu juga, pasukan Arab Saudi dibelasah 0-8 oleh pasukan Jerman pimpinan Michael Ballack.
            Eh, kenapa saya cerita bab bola?
            Sebab saya memang peminat tegar bola sepak. Orang putih kata die hard fan. Orang Melayu kata kipas-susah-mati. Tapi, saya tak la suka mengipas sampai mati.
            Jika seluruh dunia memilih pasukan-pasukan kuat macam Manchester United, Real Madrid atau pun Barcelona, saya pilih pasukan yang dah berapa tahun tak menang-menang piala, Arsenal.
            Saya tak tahu kenapa saya suka dengan Arsenal. Yang saya tahu, dulu pasukan Arsenal memiliki seorang pemain yang hanya perlu dihalakan Riffle jika mahu menghentikan beliau daripada menjaringkan gol.
            Dialah legenda Arsenal, Thierry Henry.
            Dia pernah bermain untuk Arsenal sejak tahun 1999 sehingga ‘dicuri’ Barcelona pada tahun 2007. Pada zaman dialah, Arsenal dianggap pencabar kuat Manchester United, dengan pernah merangkul dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris, tiga kejuaraan Piala FA Inggeris dan pernah membawa Arsenal ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 2006.
            Huh, memang The Gunners.
            Okey, kembali kepada tajuk asal.
            Err... lupa sekejap.
            Haah, dah ingat!
            Pada penghujung tahun, Hokkaido menjadi sebuah tempat yang paling sejuk di Jepun.
Kadang-kadang akan diadakan pertunjukkan ukiran ais dengan pelbagai ukiran yang menarik.
            Si Hatim yang belajar di Universiti Hokkaido tu beria-ia betul mengajak saya ke sana.
            Katanya ketika dia berkunjung ke apato (apartment) saya di Iwate, “Rugi kalau kau tak turun Hokkaido. Kat sini apabila fuyu (musim sejuk) memang seronok gila. Sejuk tak ingat! Dalam penghujung bulan Mac atau awal bulan April aku boleh bawa kau ke Lembah Furano. Sana boleh lepak-lepak dengan bunga dandelion dan lavender. Cantik aku cakap kat kau!”
            Mula-mula saya macam nak lempang dia sebab mengganggu saya melayan drama Jepun. Tetapi, disebabkan dia menunjukkan gambar-gambar ketika dia berada di sana, saya terus tertarik dan tak jadi nak lempang.
            Gambar bunga-bunga lavender yang berkembang dengan warna-warna yang berbeza telah menarik minat saya untuk ke sana.
            Oh, Lembah Furano.
            Dan angan-angan itu musnah apabila ayah berkata, “Balik, Afi! Ayah tanggung perbelanjaan kau naik kapal terbang!”
            Saya bermuram durja di dalam kapal terbang menunggu waktu untuk sampai di KLIA.
            Ibu menyambut saya dengan linangan air mata setelah tiga tahun tidak melihat anak sulungnya ini.
            Oh, kasih ibu membawa ke syurga.
            Saya berasa bagaikan kepulangan ini amat dinanti-nantikan oleh ayah, ibu dan juga adikku, Fahmi. Sesampai di rumah, ibu memasak makanan kegemaran saya. Kami berceloteh panjang, bergurau senda dan menangis bersama-sama. (Tak menangis sebenarnya, saja buat drama)
            Keluarga bahagia! Sob... sob...
            Dan keluarga bahagia ini hanya bertahan selama tiga hari sebelum masing-masing hal sendiri.
            Saya menjadi ‘pemerap’ di rumah sehingga ke hari ini.
            Pagi, bangun solat subuh (tu wajib). Kemudian, tidur semula.
            Jam 10 pagi, bangun buat renggangan badan. Garu-garu tengkuk, kepala, paha dan lain-lain. Turun ke dapur, buka tudung saji, lepas bersarapan apa yang ada (selalunya roti dan mentega kacang saja).
            Naik atas bilik, buka komputer, main Facebook, main permainan video (video game), baca manga dalam versi Jepun atau pun bahasa Inggeris, layan anime atau drama Jepun sampai ke tengah hari.
            Kalau lapar, masak nasi sendiri dan pergi ke warung mamak yang sejauh 300 meter untuk beli lauk-pauk. Balik rumah terus makan.
            Kemudian, sambung balik rutin pagi tadi hingga ke petang.
            Nampak bosan kan?
            Sememangnya saya bosan dengan hidup macam ni. (Sambil berkira mahu membuat hanakiri – bunuh diri – kerana terpaksa bertahan sehingga beberapa minggu lagi)
            Kata orang, langit gelap tak selalunya mendung. (Macam pelik aje ungkapan ni)
            Di saat cuti saya yang baru nak bermula, saya terjumpa dia. Dulu dia perempuan tetapi sekarang dia seorang gadis.
            Dulu semasa sekolah rendah, kami adalah ‘musuh’ dalam mengejar kejuaraan ‘siapa pandai cikgu bagi hadiah’.
            Sudah tentunya, saya selalu mendapat hadiah itu walaupun kadang-kadang dia mencelah.
            Dahulu, ketinggian dia cuma separas bahu aku saja. Tetapi, setelah jarang berjumpa walaupun ketika kami habis SPM (saya balik kampung ayah saya di Kelantan, kena nolong jaga datuk dan nenek), ketinggian sudah melebihi diri saya.
            Sekarang dia sudah berbusana muslimah dengan wajah putih mulus dan bibir comel. Kenapa saya tidak perasan ketika kami bersekolah menengah dulu.
            Dia adalah gadis yang tinggal langkau serumah daripada saya.
            Saya sudah jatuh hati padanya. (Anatawa daisuki)
            Namun, senyum saya jadi kendur tiba-tiba.
            Sebab apa?
            Sebab dia la gadis yang suka pasang lagu-lagu yang paling saya benci.
            Lagu apa?
            Lagu paling popular sekarang.
            Ya la, lagu apa?
            K.Pop!
            Alahai, Nur Liyana Binti Musa! Kenapa awak suka K.Pop? Saya ni suka layan J.Rock.
            Okey, untuk memudahkan cerita, saya babatkan sedikit kenapa saya jadi jatuh hati dan pada masa yang sama saya jadi benci sedikit padanya.
            Isshouni yomimashouka?
            (Mari baca bersama-sama)
Babak 3
            “Huh, malas la abang nak pergi kenduri tu!” ujar saya pada Fahmi.
            Kalau ikutkan hati, mahu pula saya ‘memerapkan’ diri dalam untuk baca manga atas talian (online), tengok anime baharu atau pun baca novel John Grisham, salah seorang penulis thriller yang suka.
            Adik saya, Fahmi dah bersiap-siap dengan menyikat rambutnya yang sedikit panjang ke paras bahu.
            “Ala, abang ni! Ayah dah ajak ke kenduri, pergi aje la. Bukan selalu kita boleh masuk ke dalam rumah tu!” ujar Fahmi sambil menyudahkan kerja-kerja menyikat rambutnya.
            Saya mendengus.
            “Hai, beria benar kau! Tak sabar nak berjumpa bakal adik ipar abang ke?”
            Fahmi senyum. Dia membisu sahaja.
            Saya melemparkan sebiji bantal ke arahnya. Entah ilmu jurus ke berapa yang dia belajar, dia mengelak dengan selamba.
            Saya geram.
            “Kau belajar ilmu apa sampai dah pandai elak ‘terjahan bantal’ aku? Biasa dah berlekuk dahi kau tu.”
            Saya tertawa kecil.
            “Inilah namanya ilmu cinta! Kerana cinta, saya dah dapat kuasa Spiderman. Spider sense!”
            “Nak muntah aku dengar kata-kata kau tu!”
            Kami berdua ketawa.
            “Jom la, abang! Kenduri tu sebenarnya kenduri kesyukuran untuk Kak Yana. Dia dapat 4.0 untuk CGPA dia. Sebab tu, Makcik Sa’adiah anjurkan majlis tu.”
            Yana? Liyana?
            Alahai, kenapa lah anak-anak Pakcik Farhan tu cantik-cantik dan comel-comel belaka. Seorang kulit putih macam salju. Seorang lagi pipi sedikit tembam.
            Sebab itulah Fahmi begitu tertarik kepada Aimi. Katanya, dia suka apabila gadis tu senyum. Manis sangat.
            Kebetulan, kedua-duanya memakai cermin mata.
            Yana!
            “Adik tahu abang ada hati pada Kak Yana. Masa ni la peluang untuk abang berkenalan dengan dia. Tanya apa yang dia minat... belajar apa. Nak mengorat anak dara orang  ni kena ada teknik!”
            Fahmi terus mencucuk saya dengan kuliah cinta di dalam bilik saya.
            Wah, mengalahkan pensyarah pula adik saya seorang ni.
            “Huh, universiti pun tak masuk lagi, ada hati pula nak ajar aku! STPM entah lepas ke tidak.”
            “Isy, ada ke doakan yang bukan-bukan untuk adik sendiri. Tak nak pergi sudah. Adik pergi dengan ayah dan ibu!”
            Saya ketawa kecil dengan keletah adik saya.
            “Umur dah boleh kahwin tapi merajuk. Heee... geli-geleman aku,” kata saya sambil membuat gaya geli-geleman.
            Satu balingan bantal hinggap di muka saya. Saya gagal untuk mengelak.
            “Abang tak pernah berlatih di Jepun rupanya. Tu la, menghadap komputer aje memanjang.”
            Ketawa kami pecah lagi.
            Kami terus ketawa sehingga tak sedar jam sudah pun hampir menjangkau pukul satu tengah hari.
            Ayah memanggil kami untuk siap ke surau. Katanya dengan bacaan 150 db (desibel) , “Solat zuhur berjemaah dulu! Lepas tu, kita ke rumah kenduri.”
            Saya memandang Fahmi. Fahmi pula memandang saya. Tidak semena-mena, Fahmi dan saya berlari keluar dari bilik itu untuk segera ke surau. Ayah yang menanti di luar rumah menggeleng-gelengkan kepala.
           “Umur dah besar panjang tapi perangai macam budak-budak. Hai, budak-budak zaman sekarang!” tegur ayah.
            Usai solat di surau, kami mampir terus ke rumah Pakcik Farhan. Ramai tetamu yang hadir, rata-rata orang surau.
            Ayah duduk bersila di sebelah Pakcik Farhan, bertentangan dengan saya. Fahmi duduk di sebelah saya.
            Sambil duduk itu, mata saya melilau ke sekeliling ruang tamu itu, mencari kelibat gadis yang ingin kutatap wajahnya. (Eee... gatalnya saya)
            Apabila Tok Imam mahu memulakan bacaan tahlil, barulah wajah putih mulus dan bibir comel gadis itu muncul.
            Saya terpesona seketika memerhatikannya duduk bersimpuh di sebelah adiknya, Aimi. Cantik berbaju kurung biru laut. Cermin mata tidak lekang daripada wajahnya.
            Saya lihat Fahmi sudah pun tersenyum-senyum. Begitu juga Aimi. Masing-masing tertunduk malu.
            Ah, sudah! Penyakit ‘angau cinta’ sudah menjangkiti kedua-dua manusia ini.
            Mata saya tajam memerhatikan wajah Fahmi. Adik saya perasan.
            Kami berbahasa dengan ‘telepati’ yang hanya kami sahaja faham.
            Duduk kat rumah orang ni, jangan nak menggatal pula. Jaga adab! kata saya.
            Sini bukan Jepun la, abang. Orang Jepun tu kan ada banyak adab yang berlebih-lebihan, balas Fahmi.
            Jepun tak Jepun! Kita orang Melayu, orang Islam. Ada adat dan pantang-larang kita. Jangan nak merapu tentu fasal, tegas saya.
            Ya la! Habis abang tu, tak tergoda pula. Kak Yana tu duduk betul-betul depan abang tau! ujar Fahmi dalam cubaan mengenakan saya pula.
            Abang datang ni nak makan! Bukan nak menggoda anak gadis orang lain, kataku.
            Perbualan kami terhenti apabila semua hadirin mula menadah tangan untuk mengaminkan doa Tok Imam.
            Fahmi dan saya lantas menadah tangan.
            Amin!
            Sebaik sahaja meraut tangan ke muka, Fahmi terlebih bangun. Saya tergamam.
            “Kau nak pergi mana, Fahmi?” tanya saya hairan.
            “Tolong hidangkan makanan!” jawab Fahmi.
            Saya memandang ke arah destinasi Fahmi yang ingin dituju. Dia menuju ke arah Aimi berada. Di situ, beberapa orang kaum Hawa sudah bersedia dengan tugasan seterusnya, menjadi ‘orang tengah’ untuk menyerahkan dulang berisi nasi dan lauk-pauk.
            Yana turut berada dalam kumpulan tersebut. Dia menjadi orang terakhir untuk menyerahkan dulang itu kepada pihak lelaki.
            Alahai, Afi! Apa yang saya perlu buat sekarang? Bagaikan ada satu soalan dengan tiga pilihan jawapan yang perlu saya jawab.
Soalan
            Apakah yang Afi perlu lakukan sekarang?
a)      Bangun dari bersila dan pergi menolong Yana.
b)      Bangun dari duduk dan pergi menolong Aimi. (Kenapa nak sibuk tolong buah hati orang lain)
c)      Duduk sahaja di situ dan tunggu makanan sampai.
d)     Bangun dari duduk dan terus keluar rumah, berpura-pura mahu ambil angin.
Jawapan
            Err... Saya pilih a.
            Adakah itu jawapan muktamad anda?
            Ya, saya yakin benar, saya pilih a!
            Setelah memberi kata putus, saya bingkas dan mengekori Fahmi yang sudah berada di hadapan.
            Fahmi tersenyum.
            “Laju abang berjalan! Tak sabar nak jumpa bakal isteri ke?”
            “Diam!”
            Saya menghampiri Yana. Jantung saya berdegup kencang.
            Dia menyerahkan dulang berisi lauk-pauk. Bibir comelnya menguntum senyuman.
            Saya jadi cair. Rasanya saya akan cair sebelum sempat sampai kepadanya.
            Saya tidak dapat menatap wajahnya.
            Jadi, saya menundukkan muka ke bawah sedikit.
            Jaga mata kau, Afi!
            Saya bertarung dengan alter ego sendiri.
            Dulang beralih tangan. Saya membawa dulang itu ke satu sudut ruang tamu. Beberapa orang hadirin sudah bersedia untuk menjamah hidangan.
            “Kau ni anak siapa? Tak pernah nampak pun!” sapa seorang pakcik ketika saya mengeluarkan lauk-pauk daripada dulang itu.
            “Saya anak Adli. Nama saya Afi!” jawab saya.
            “Oh, anak Adli! Ni anak dia yang pergi ke Jepun ni kan?” tanya pakcik itu lagi.
            Saya mengangguk-angguk perlahan.
            “Oh, baguslah! Belajar rajin-rajin tau. Nanti ramai perempuan yang jatuh hati pada kau. Anak Si Farhan tu pun boleh tahan juga. Kau tak terpikat ke?”
            Merah muka saya apabila pakcik ni menanyakan soalan sebegitu. Tangan ni ringan saja nak menyiram gulai umbut pisang masak lemak atas kepalanya.
            Namun, atas dasar keimanan yang tinggi, saya hanya tersenyum sahaja.
            Sebelum saya bangun, pakcik itu sempat berkata, “Pakcik gurau aje tadi! Jangan ambil hati ya, nak. Tapi, pakcik yakin kau budak baik. Lambat-laun pasti akan ada orang suka pada kau!”
            Sekali lagi, saya tersenyum lebar. Kata-kata pakcik ini memang berbekas di hati.
            Saya berjalan menuju ke arah Yana kembali.
            Oh, tidak!
            Pada waktu yang sama, terngiang-ngiang di telinga saya, lagu Menatap Matamu dendangan Aril AF7.
            Disebabkan saya tak boleh nak menyanyi dalam cerita ni, jadi kawan-kawan nyanyikan sendiri ya.
            Bayangkan bagaimana langkah saya menjadi perlahan.
            Bayangkan juga bagaimana wajah Yana yang putih mulus itu memandang kepada saya.
            Bayangkan juga bagaimana bibir comel Yana terseny...
            Eh, kenapa bibirnya tidak menguntum senyum? Monyok saya tengok.
            Dia mengunjukkan dulang berisi lauk-pauk lagi kepada saya. Tanpa sebarang kata, saya mengambil dulang dan berlalu pergi.
            Rutin itu berulang untuk dua pusingan lagi sebelum dia hilang menuju ke dapur.
            Saya hairan.
            Saya mahu melihat dia tersenyum tapi kenapa dia bermasam sahaja macam buah mangga yang berisi warna putih.
            “Kenapa?” tanya saya kepada Fahmi ketika kami sedang menjamah nasi.
            “Mana saya tau! Apa yang abang kat belajar Jepun pun saya tak tahu sampai tak reti nak berhadapan dengan gadis!” ujar Fahmi.
            “Jangan melibatkan Jepun boleh tak? Nanti aku bubuh semua sambal belacan ni dalam pinggan kau baru tau!” saya mencebik marah.
            “Wah, mencebik mengalahkan perempuan!” Fahmi mengembalikan paku buah keras yang diterimanya pagi tadi.
            Saya mencebik lagi.
            Sesekali juga saya mencari wajah Yana yang telah menyorok entah di mana. Mungkin berada di dapur, menjamu selera dengan ibu.
            Saya mengunyah perlahan-lahan nasi yang berada dalam pinggan. Rasa tidak berselera pula.
            Hai, adakah ini yang dinamakan cinta?
            Bak kata Akim AF7 dalam lagu Inilah Cinta.
            Haishh...
Habis Babak 3
            Gambare Naruto-san! Gambaree...
            Eh, dah habis babak 3.
            Maaf, kawan-kawan. Tengah seronok tengok Naruto lawan dengan Uchiha Obito ni. Dah la Si Obito ni ada mata rinnegan dan sharingan. Naik semput juga Si Naruto ni nak mengalahkan dia.
            Saya tak nak cerita banyak. Ikuti babak seterusnya, kenapa saya jadi benci sikit pada Yana. (Padahal masih lagi sayang)
Babak 4
            “Ayah mahu kau dan Fahmi tolong anak-anak Pakcik Farhan. Lagipun mereka tak cukup tenaga lelaki untuk buat semua kerja!”
            Arahan ayah itu sebenarnya satu nikmat kepada diri saya. Nikmat yang tidak terhingga.
            “Peluang!” bisik Fahmi sepatah yang membuatkan saya senyum.
            Ya, memang peluang! Peluang untuk menatap mata Yana.
            Saya duduk di sebelah Yana, menjadi tukang membilas pinggan, mangkuk, sudu dan garpu. Gadis itu akan mencuci dahulu.
            Peluang sudah ada tapi mulut saya terkunci. Saya jadi segan.
            Sepatah perkataan pun tidak keluar daripada mulut saya.
            Saya jadi cemburu pada Fahmi dan Aimi yang begitu mesra di hujung sana. Siap boleh bergurau senda lagi.
            Isy, budak-budak zaman sekarang... hancur... hancur!
            Saya pula hanya jadi robot yang hanya tahu bekerja mengikut arahan yang sudah diprogramkan.
            Arahannya:
1)      Tunggu Yana ambil pinggan, mangkuk, sudu dan garpu.
2)      Tunggu Yana cuci kesemuanya.
3)      Setelah Yana meletakkan semua peralatan itu dalam besen berisi air bersih, ambil satu persatu dan masukkan ke dalam besen satu lagi yang berisi air bersih.
4)      Rendam dan angkat dua tiga kali sebelum semua peralatan itu diletakkan di atas alas kain bersih untuk mengeringkannya.
5)      Ulang arahan 1 hingga 4 sehingga kerja-kerja mencuci selesai.
            Betul la kata Fahmi. Otak saya dah dibrainwash oleh orang Jepun. Hidup adalah untuk bekerja.
            “Kami sedia berkhidmat untuk tuan!” (Sila baca ayat ini dengan bunyi robot ya)
            Yana yang berasa kurang selesa dengan kekakuan saya, tergelak kecil.
            Dahi saya berkerut. Saya tak pasti apa yang melucukan dia tapi saya boleh agak. Mungkin cara saya bekerja yang macam robot ni.
            Tangan saya berhenti bekerja.
            “Apa yang awak gelakkan tu?”
            “Mana ada! Lagipun suka hati sayalah nak gelak ke tidak! Mulut saya!”
            Dia mencebik marah sebelum menyambung kerjanya.
            Saya diam saja sebelum sambung bekerja.
            Namun, dalam hati saya berasa gembira. Akhirnya, saya mendengar juga suaranya yang sekian lama tak pernah singgah di gegendang telinga ini.
            Khali.
            “Bila awak nak habis belajar di Jepun tu?” tanya Yana setelah lama kami hanya mendengar bunyi kocakan air dan ‘kelenting-kelentung’ pinggan saja.
            “Insya-Allah, dua tahun lagi! Lepas selesai ronbun, baru saya soutsugyou!”
            Ronbun? Soutsugyou? Sila bercakap dalam bahasa Melayu ya!” Berkerut dahi Yana menyebut dua perkataan yang mungkin pertama kali didengari.
            “Oh, maaf! Ronbun tu bermaksud tesis. Soutsugyou tu graduasi.” Jawab saya.
            “Ooo... maaf la. Bahasa Jepun saya tak tahu sangat. Kalau awak cakap dalam bahasa Korea, mungkin saya boleh cakap sikit-sikit!” ujar gadis itu sambil memasukkan lagi dua tiga keping pinggan ke dalam besen yang berdekatan saya.
            “Bahasa Korea? Oh, jadi awak la yang selalu pasang lagu-lagu Korea kuat-kuat tu!”
            Entah sawan apa yang merasuk diri ini, saya hampir-hampir terjerit. Lebih dahsyat lagi, saya ketawa dengan hilai yang menakutkan.
            Yana memandang saya dengan wajah kehairanan bercampur dengan ketakutan.
            “Haah, saya la yang selalu pasang-pasang lagu-lagu Korea tu. Tapi tak ada la sampai kuat-kuat. Maaf la kalau menganggu awak!” katanya. Ada nada bersalah dalam suaranya.
            “Memang tak la terlalu kuat sangat. Tapi, kalau awak nak tahu saya memang anti-artis Korea. Bagi saya, mereka hanya ‘bajet kiut’ saja terutamanya lelaki. Kalau perempuan, saya tak kisah sangat sebab mereka tu perempuan. Kualiti lagu-lagu Jepun terutamanya J.Rock lebih baik daripada K.Pop. Begitu juga drama dan filem Jepun. Ada variasi! Tak seperti Korea yang penamat ceritanya dah boleh agak!”
            Oh, anti-Korea saya semakin menjadi-jadi. Yang sebetulnya saya sangat pantang apabila ada orang berbicara mengenai K.Pop di hadapan saya.
            Dalam minda saya ada hanya satu, “Jepun! Nippon! J.Rock! Anime!”
            No Korea! No K.Pop! More fun!
            Wajah gadis itu berubah. Dia hanya membisu apabila saya terus berceloteh.
            “Saya tengok banyak jalan cerita drama-drama Korea dah klise. Cerita pergaduhan gengster-gengster la, cerita percintaan dua darjat la. Yang lelaki kaya tapi yang perempuan miskin. Tak pun yang lelaki miskin tapi perempuan kaya. Dah macam sinetron Indonesia pula saya tengok. Harapkan barisan pelakon yang ‘kiut’ dan cantik saja untuk hidupkan cerita. Kalau tak, sumpah saya rasa tak laku drama Korea!”
            Saya lihat Yana diam saja.
            Sejujurnya niat saya bukan nak mencaci minatnya. Cuma nak sedarkan dirinya agar tidak terlalu terpengaruh dengan K.Pop secara berlebihan.
            (Amboi... amboi... yang awak tu memanjang aje layan anime,tak kira sebagai terpengaruh pula)
            Diam kau!
            Saya menyambung ceramah ringkas saya, “Awak patut menonton drama  Jepun yang banyak memberi manfaat. Cerita penyiasatan yang bijak, cerita kekeluargaan, cerita sains fiksyen. Baru la terbuka sikit minda tu. Ini tak, alih-alih cerita cinta dua darjat. Alih-alih cerita-cerita gengster. Bosan juga saya!” kata saya sambil ketawa kecil.
            Dia tidak memberi respons.
            Dahi saya berkerut.
            Marah ke minah ni?
            Saya lihat dia asyik memandang adik dia saja. Dari arah sini, saya tidak dapat melihat apa yang dibuat oleh dua orang adik-beradik itu.
            Saya terus menyambung bicara, “Macam tu juga dengan muzik-muzik Korea. Semuanya satu jenis. Pop berdansa! Kalau awak dengar-dengar lagu-lagu Jepun terutamanya lagu-lagu rock, mesti awak suka. Macam lagu-lagu Asian Kungfu Generation. Banyak lagu-lagu kumpulan itu yang jadi runut bunyi (original soundtrack) untuk anime popular di Jepun. Seperti Naruto, Bleach, Fullmetal Alchemist dan banyak lagi. Pendek kata, lagu mereka memang menarik. Ada unsur persahabatan.
            Tak macam K.Pop! Lagu entah apa-apa. Terutamanya lagu Oppa Gangnam Style nyanyian PSY. Memang saya ‘tabik spring’ pada dia sebab berjaya menarik minat 700 juta penonton menonton video klip dia di youtube. Tapi, lirik lagu dia sangat merapu. Video klip dia pun sama!”
            Tiba-tiba, Fahmi menepuk bahu saya dan berkata, “Ibu panggil pulang. Ada urusan lain katanya.”
            Saya membalas, “Abang tak dengar pun!”
            Kata Fahmi, “Abang tengah berleter yang bukan-bukan sebab tu tak dengar.”
            Saya tersentak. Biar betul!
            Baru saya tersedar yang saya sudah melalut tak tentu hala. Wajah Yana sudah berubah warna merah.
            Timbul pula rasa bersalah.
            “Oh, okey! Jom!”
            Saya mencuci tangan dengan air yang bersih sebelum bangun dari tempat duduk.
            Saya melangkah melalui depan Yana.
            “Jumpa lagi Aimi, Yana! Jangan marah ya!”
            Saya menguntum senyum dan senyum saya dibalas dengan jelingan tajam gadis berkulit putih itu. Jelingan maut!
            Saya meneguk air liur sendiri.
            Sudah!
Habis Babak 4
            Doraemon... mana awak? Saya memerlukan pertolongan awak. Saya nak pinjam mesin masa awak.
            Huh, hilang mood saya untuk menonton Naruto.
            Kalaulah saya dapat mesin masa Doraemon, sudah tentu saya nak kembali ke waktu itu dan culik ‘diri saya’ dan gantikan dengan diri saya sekarang.
            Selepas tu, saya akan duduk diam-diam sahaja atau pun bercerita yang ‘mulus-mulus’ tentang K.Pop.
            Hmm... benar kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata kena bunuhlah saya. (Nampaknya peribahasa sendiri)
            Nak buat macam mana, saya ni memang anti-Korea. Saya tak pandai nak menipu diri saya sendiri.
            Kata Fahmi selepas beberapa langkah dari tempat kami bekerja, “Abang ni bodoh la! Ada ke memikat perempuan dengan cara macam tu. Dah la Kak Yana tu kipas-susah-mati K.Pop. Apa la yang orang Jepun tu basuh otak abang!”
            Ah, asyik-asyik Jepun... asyik-asyik Jepun!
            Tapi, Ku Akui, tajuk lagu Hafiz AF7, saya memang terlalu ketagih dengan Jepun terutamanya J.Rock.
            Ah, sudah!
            Perang Dunia Ketiga bakal meletus.
            Melepaslah saya nak berkenalan dengan Yana.

No comments:

Post a Comment