Friday, November 23, 2012

KAU K.POP, KU J.ROCK: BAB 5



Bab 5
Selingan 1
            Fahmi menapak ke rumah Aimi.
            Jantungnya berdegup kencang. Kalau boleh dia tidak mahu ke sana tapi apakan daya. Dia tidak mahu membincangkan hal ini dengan menggunakan telefon atau pun laman Internet.
            Dia mahu menyelesaikan secara berdepan. Senang selesai!
            Apabila selesai, dia boleh balik.
            Semudah A, B dan C.
            Fahmi tiba di perkarangan rumah.
            Dia tersenyum apabila gadis idamannya sudah menunggu di laman. Sedang asyik duduk di atas pangkin. Pangkin itu dibina di satu sudut laman rumah di bawah sepohon pokok mempelam.
            Fahmi memberi salam.
            Aimi menoleh. Bibirnya menguntum senyum berserta sekali pipinya mengembung.
            Fahmi tersenyum.
            “Seorang aje ke?” tanya Fahmi berbasa-basi.
            “Tak la! Saya bertemankan pokok ni. Pokok ni kata, apa ke bodoh lelaki tu tanya seorang diri saja kita ni.”
            Dush...
            Kena sebiji dengan anak dara orang.
            Fahmi tersengih.
            “Main kasar nampak!” ujar Fahmi sambil menyandarkan diri di sebelah pohon mempelam tu.
            “Gurau-gurau aje. Marah ke?” tanya Aimi ‘malu-malu kucing’.
            “Eh, tak! Seronok! Kalau marah nanti kena jual kan?”
            Aimi ketawa kecil.
            “Okey, cakap banyak tak mahu. Kita terus kepada agenda kita!” kata Aimi mula tegas.
            Fahmi pula memanjangkan lehernya untuk meninjau-ninjau ke dalam rumah.
            “Ayah awak tak ada ke? Kak Yana?” tanya Fahmi apabila melihat Aimi yang kehairanan melihat tingkah Fahmi sebegitu.
            “Ayah ada. Tengah tengok televisyen dengan umi. Awak jangan risau la dengan Kak Yana! Dia tengah layan baca novel. Sekali baca novel, dia tak ingat pada benda lain dah.”
            Fahmi mengangguk-angguk sahaja. Pandangannya beralih kepada Aimi.
            “Jadi, apa pelannya?” tanya Fahmi.
            “Tanya kita pula! Awak tu tak kan tak ada pelan?” pertanyaan Fahmi dibalas pertanyaan Aimi.
            Hmm... saya ada rancangan tapi melibatkan kedua-dua keluarga.”
            “Apa rancangannya?” Aimi teruja.
            “Kita pergi bercuti!”
            “Munasabah! Tapi, tak munasabah untuk Kak Yana. Dia tak lama lagi akan masuk semula ke universiti!”
            Masing-masing diam.
            “Saya rasa tak ada masalah kut. Awak kena fikir, kalau biar lama-lama jadi musuh pula Abang Afi dan Kak Yana tu. Abang Afi tu pun makin lama makin angau pada kakak awak.”
            Aimi tergelak kecil.
            “Saya faham! Tapi, kenapa abang awak tu pergi kacau minat dia? Memang cari fasal la!”
            “Nak buat macam mana, orang Jepun dah ajar dia jadi begitu.”
            Aimi ketawa lagi. Geli hati dia dengan jenaka Fahmi.
            “Awak ni, ada ke kata abang awak macam tu? Dia mungkin tak biasa berbual dengan perempuan. Sebab tu jadi macam tu!”
            Fahmi mengangkat kedua-dua belah bahunya tanda tiada komen.
            “Tapi, ke mana kita nak pergi?” tanya Fahmi pula.
            Aimi membisu. Dia berfikir sejenak.
            “Pulau Pangkor?”
            “Ah, tak nak la! Panas la!”
            “Port Dickson?”
            “Pantai dah tak bersih!”
            “Habis, apa idea awak?”
            “Kita pergi tempat sejuk, nak tak?”
            “Mana?”
            “Macam Cameron Highlands?”
            Aimi berfikir lagi.
            “Macam menarik. Tapi, keluarga saya dah selalu pergi la!”
            Fahmi mengetap bibir.
            “Ala, itu keluarga awak! Ni bersama-sama dengan kedua-dua keluarga! Kita ajak sekali Abang Lawrence dan Kak Anne. Kita boleh ajak mereka sekali untuk kenakan Abang Afi dan Kak Yana. Mesti menarik dan romantik!”
            “Isy, awak ni. Ada aje idea nakal untuk kenakan abang awak dan kakak saya. Nakal betul!”
            Aimi mencebik marah.
            Bibir Fahmi melirik senyum.
            “Ala, ini pun untuk kebaikan mereka juga. Sampai bila nak jadi macam tikus dan anjing. Bergaduh saja!”
            Hmm... okey, saya setuju dengan cadangan awak! Tapi, kita kena yakinkan kedua-dua orang tua kita. Maklumlah, masing-masing sibuk dengan kerja,” pesan Aimi.
            “Bisa diatur! Yang penting berusaha!” ujar Fahmi memberikan keyakinan.
            “Tapi, saya takutlah!”
            “Apa yang awak takutkan?” tanya Fahmi hairan.
            “Takut rancangan kita tak menjadi! Kita kena ada rancangan sokongan. Mana tau, bertambah parah pula sengketa mereka berdua. Saya kenal kakak saya tu, degil sikit!” jawab Aimi.
            Fahmi mengeluh panjang.
            “Kita hanya berusaha, Aimi! Yang lain tu, serahkan saja pada Yang Maha Kuasa!” balas Fahmi.
            “Macam pasrah aje!”
            “Isy, bukan pasrah! Sudah suratan takdir.” Kata Fahmi sambil menggeleng-gelengkan kepala.
            “Bukan sama ke?” tanya Aimi.
            “Eh, ya ke? Haha.. entahlah.”
            Aimi turut ketawa.
            “Okey, kita sampaikan hasrat kita dulu pada orang tua kita. Lepas tu...”
            Kata-kata Aimi terhenti apabila Fahmi tiba-tiba mencelah.
            “Kalau berjaya, kita tubuhkan syarikat cari jodoh nak tak? Ala, macam Saiful Apek berlakon dalam filem Nana Tanjung tu.”
            “Isy, ke situ pula dia! Sudah, pergi balik! Nanti orang kata apa pula kita berlama-lama macam ni!” kata Aimi.
            “Baiklah, Tuan Puteri! Okey, tata! Eh, dah macam jenama bas pula!”
            Fahmi hanya ketawa sebelum melangkah keluar dari perkarangan rumah itu.
            Aimi hanya menggeleng-gelengkan kepala sahaja memerhatikan Fahmi berlalu pergi.
            Sekarang, dia ada misi yang perlu dilaksanakan. Bahkan lebih berat daripada misi watak Ethan Hunt lakonan Tom Cruise dalam filem Mission Impossible.
            Misi jodoh!
Selingan 2
            Suasana petang yang sedikit dingin setelah hujan baru reda membuatkan pertemuan dua orang lelaki itu begitu damai sekali. Sambil menghirup air teh panas dan menjamah pisang goreng, petang itu dirasakan begitu mengasyikkan.
            Suasana masih lembap. Awan hitam sudah pun mula bergerak perlahan-lahan meninggalkan kawasan perumahan itu. Mungkin menuju ke kawasan lain pula untuk menumpahkan lagi hasilnya.
            Encik Farhan membiarkan seketika air tehnya berwap nipis. Dia mahu membiarkan air itu sejuk seketika sebelum mula mencicipnya.
            “Sedap juga dapat berehat-rehat petang begini. Ditambah dapat ‘menyantap’ sekali air teh dan pisang goreng ni, alangkah nikmat!” ujar Encik Adli sambil tersenyum.
            Perlahan-lahan dia menghirup sedikit air teh yang berada di depannya.
            “Haah.. lagi pun dah lama kita tak duduk-duduk macam ni. Maklum la masing-masing sibuk dengan kerja.” Balas Encik Farhan sambil mengunyah sedikit pisang goreng yang terhidang. Dia mengunyah dengan nikmat sambil menyandarkan kembali badannya ke kerusi.
            “Sedap juga isteri kau masak, Adli!”
            “Biasa la buah tangan orang Kelantan!”
            Masing-masing ketawa.
            Berada di bawah gazebo yang terletak di perkarangan rumah Encik Adli membuatkan mereka benar-benar bersantai. Santai di hujung minggu.
            “Haha.. memang masakan orang Kelantan. Siap ada boleh pencicah lagi!” canda Encik Farhan.
            Encik Adli senyum sahaja.
            Tangan kanannya mengambil sebiji pisang goreng dan mencolek sedikit pencicah. Kemudian, dia menggigit sedikit pisang. Perlahan-lahan, cucur itu dikunyah-kunyah sebelum ditelan.
            Langsung, dia menghirup sedikit air teh dalam cawannya. Dia mengangguk-angguk perlahan.
            “Entah la tapi saya terasa nikmat. Dapat bersantai-santai begini hari-hari kan seronok!” ujar Encik Adli.
            “Kalau hari-hari kita bersantai macam ni, anak bini kita nak makan apa?” seloroh Encik Farhan.
            Mereka sama-sama ketawa.
            “Betul kata awak tu, Farhan! Hmm.. tapi lagi seronok kalau kita dapat pergi bercuti beramai-ramai. Aku rasa kita pernah pergi berkelah dulu masa budak-budak tu kecil lagi. Kalau tak salah aku, kita berkelah di Sungai Congkak kan?”
            “Haah, aku rasa masa tu, Yana baru berumur 14 tahun.”
            “Aku pun rasa macam tu!” Encik Adli mengiakan kata-kata Encik Farhan.
            “Teringat fasal pergi bercuti, anak aku, Si Fahmi ada bagi cadangan. Dia ajak kita pergi Cameron Highlands.”
            Encik Farhan mengerutkan dahi.
            “Anak aku, Aimi pun ada ajak sekali. Pergi Cameron Highlands juga!”
            Encik Adli tergelak kecil.
            “Oo.. mereka berdua dah buat rancangan lebih awal daripada kita. Hmm...
            “Biasa la tu! Mereka kan cepat belajar daripada kita!” ujar Encik Farhan lalu menghirup lagi air teh yang berbaki.
            Encik Adli mengekori perbuatan rakannya itu.
            “Jadi, apa fikiran kau?” tanyanya setelah meletakkan kembali cawan air teh itu.
            “Aku ikut kau aje!” jawab Encik Farhan.
            “Hai, semua main tolak-tolak ni!” balas Encik Adli.
            “Begini la! Biar aku suruh isteri aku yang uruskan semua. Tempat tinggal, apa rancangan kita kat sana dan berapa perbelanjaan. Kau cuma maklumkan pada semua anak-beranak kau,” ujar Encik Farhan memberikan kata putus.
            “Bagus juga tu! Haah, kita boleh ajak Lawrence sekali. Hari tu kan dia tak dapat datang ke rumah kau.”
            “Bagus juga idea kau! Nanti aku bersembang dengan Lawrence!” kata Encik Farhan.
            “Kira jadi la ni! Dah, jemput makan lagi. Nanti sejuk pula pisang goreng tu!”
            Petang itu meriah dengan gelak ketawa kedua-dua ketua keluarga itu.
            Dari dalam rumah, seorang insan tersenyum gembira mendengar butir bicara yang dibincangkan oleh Encik Adli dan Encik Farhan.
            Jari-jemarinya lantas menari-nari di atas punat telefon bimbitnya.
            Rancangan kita berjaya. Ayah awak dan ayah saya dah bersetuju untuk ke Cameron Highlands.
            Mesej dihantar.
            Telefon bimbit berbunyi kembali. Mesej baharu sampai.
            Cantik! Kita kena buat rancangan seterusnya.
            Insan itu mengetap bibir.
            Kita kena berjumpa. Susah nak berbincang kalau macam ni.
            Mesej dihantar lagi.
            Telefon bimbit insan itu berbunyi.
            Okey! Saya tunggu malam ni macam biasa.
            Insan itu tersenyum. Rancangan ‘cari jodoh’ mereka sudah sampai ke tahap seterusnya.
           


No comments:

Post a Comment